Terbunuhnya Abu Rafi’ Abdullah, Musuh Rasulullah S.A.W

Rasulullah menghantar beberapa orang sahabat untuk membunuh seorang Yahudi yang dikenali dengan panggilan Abu Rafi’.

Namanya ialah Abdullah bin Abi Al-Huqaiq. Abu Rafi’ sering menyakiti Rasulullah S.A.W dan membantu musuh-musuh Rasulullah S.A.W dari segi kewangan.

Abu rafi’ pada waktu itu berada di bentengnya di bumi Hijaz. Rasulullah S.A.W melantik Abdullah bin ‘Atik sebagai ketua untuk memimpin tugas ini.

Ketika kumpulan yang diutuskan tersebut tiba berhampiran benteng Abu Rafi’, matahari sudah terbenam tetapi pintu benteng itu belum ditutup kerana ada seorang-seorang di tempat itu kehilangan seekor keldai lalu keluar untuk mencarinya dengan membawa obor.

Abdullah bin ‘Atik adalah seorang sahabat yang sangat berani. Beliau berkata kepada sahabat-sahabatnya;

“kamu semua duduk di sini, biar aku pergi. Aku akan memperdaya penjaga pintu agar aku dapat masuk”

Beliau pergi ke arah pintu itu kemudian menutup kepalanya supaya beliau tidak dikenali dan duduk seperti orang yang sedang membuang air (masyarakat Arab pada zaman dahulu mereka membuang air di padang pasir sahaja kerana belum ada tandas seperti zaman ini).

Selepas beberapa ketika, orang ramai telah pun pulang bersama haiwan ternakan mereka dan selepas kepulangan semua, penjaga pintu akan segera menutup pintu.

Ketika ingin menutup pintu, si penjaga pintu tersebut ternampak Abdullah bin ‘Atik duduk berhampiran pintu benteng seolah-olah sedang membuang air lalu dia berteriak ke arah Abdullah bin ‘Atik ;

“Wahai hamba Allah, kalau kau nak masuk, masuklah aku hendak tutup pintu ini”

Beliau pun masuk dan terus bersembunyi di kandang keldai berhampiran pintu benteng.

Ketika semua orang telah masuk, penjaga pintu mengunci pintu benteng tersebut dan meletakkan kunci-kunci itu di atas pasak.

Di dalam benteng tersebut terdapat beberapa pintu. Abdullah bin ‘Atik pergi ke arah kunci-kunci itu dan mengambilnya lalu beliau membuka salah satu pintu dan mendapati Abu Rafi’ berada di tingkat atas sedang makan malam dan berbual-bual bersama beberapa orang.

Mereka berbual-bual sehingga larut malam. Kemudian, orang-orang yang berbual-bual dengannya pun pulang ke rumah mereka.

Abdullah bin ‘Atik bergerak naik ke arah Abu Rafi’ dan ketika mana beliau membuka satu-persatu pintu, beliau terus menguncinya dari dalam dan berkata di dalam hati;

”Sekiranya orang-orang di benteng ini tahu keberadaan aku, mereka tidak sempat sampai sehingga aku bunuh Abu Rafi”

Seperti yang diriwayatkan di dalam Fathul Bari, Abdullah bin ‘Atik boleh berbahasa Yahudi. Beliau meminta dibukakan pintu lalu isteri Abu Rafi’ berkata kepadanya;

“Kamu siapa?”

Abdullah bin ‘Atik menjawab;

“Aku datang membawa hadiah untuk Abu Rafi’”

Lalu dia membukakan pintu untuk Abdullah bin ‘Atik.

Apabila suasana telah sunyi, Abdullah bin ‘Atik terus menuju ke arah Abu Rafi’ dan ketika mana beliau sampai di tempat Abu Rafi’, dia berada di dalam rumah yang gelap bersama-sama keluarganya kerana lampu telah ditutup.

Abdullah bin ‘Atik tidak mengetahui di manakah Abu Rafi’ berada lalu beliau pun memanggil;

“Wahai Abu Rafi’”

Dia pun menyahut;

“Siapa itu ?”

Abdullah bin ‘Atik terus pergi ke arah suara itu lalu menetaknya sekali dengan pedang dalam keadaan gugup lalu Abu Rafi’ pun berteriak. Tetapi beliau belum membunuhnya.

Abdullah bin ‘Atik keluar dari rumah itu dan bersembunyi seketika. Kemudiannya beliau datang sekali lagi dan mengubah suaranya seperti seseorang yang hendak menolong lalu beliau katakan;

“Kenapa dengan kamu wahai Abu Rafi’?”

Lalu dia pun menjawab;

“Tak guna, ada orang tetak aku dengan pedang tadi”

Abdullah bin ‘Atik pun pergi ke arah suara itu dan menetaknya sekali lagi tetapi beliau belum membunuhnya.

Kemudian beliau meletakkan muncung pedang di atas perutnya lalu menumbusi belakang Abu Rafi’ sehingga berbunyi tulang.

Saat itu, barulah beliau ketahui yang Abu Rafi’ telah dibunuh.

Selepas itu, Abdullah bin ‘Atik keluar dengan tergesa-gesa dari bilik Abu Rafi’. Ketika sampai di tangga, beliau turun dan terjatuh dari tangga.

Kata beliau;

“Aku pun mula membuka satu-persatu pintu sehingga aku sampai di tangga, maka aku meletakkan kaki dan aku fikir bahawa aku sudah sampai ke tanah lalu aku terjatuh pada malam bulan purnama sehingga kaki aku patah lalu aku ikatnya dengan serban”

Beliau bersembunyi seketika di benteng tersebut pada malam itu.

Kata beliau lagi;

“Aku tidak akan keluar dari tempat ini sehingga aku pastikan bahawa Abu Rafi’ benar-benar telah mati. Pada waktu pagi, seorang pemberitahu berita kematian naik ke tembok dan mengumumkan Abu Rafi’ seorang peniaga dari ahli Syam telah meninggal dunia”

Kebiasaan orang Arab pada waktu itu apabila telah meninggal orang yang berkedudukan dari kalangan mereka, seorang penunggang akan menunggang kuda dan mengatakan;

“Si fulan telah meninggal dunia”

Selepas mendengar pengumuman tersebut, Abdullah bin ‘Atik terus keluar dari benteng itu dan pergi ke tempat sahabat-sahabatnya. Apabila sampai, beliau mengatakan;

“Mari pergi cepat, Allah sudah bunuh Abu Rafi’”

Abdullah bin ‘Atik dan sahabat-sahabatnya pulang ke Madinah dan bertemu Rasulullah S.A.W.

Rasulullah melihat kaki Abdullah bin ‘Atik dan mengatakan kepada beliau;

“Hulurkan kaki kamu”

Lalu beliau menghulurkannya. Rasulullah meletakkan tangannya di atas kaki itu dan menyapunya. Selepas itu, Abdullah bin ‘Atik tidak lagi merasakan sebarang kesakitan pada kakinya kerana barokah Nabi S.A.W.

Melalui kisah ini, terdapat beberapa pengajaran yang dapat diambil daripadanya. Antaranya ialah;

#1- Dibenarkan menghantarkan tentera untuk mengintip musuh yang akan diperangi

#2- Boleh membunuh sesiapa yang membantu musuh-musuh Rasulullah dengan kekuasaannya atau dengan wang ringgitnya atau pun dengan lidahnya

#3- Keberanian sahabat Rasulullah iaitu Abdullah bin ‘Atik yang hanya masuk ke dalam benteng itu seorang diri.

Itulah keberanian seorang sahabat yang tidak takutkan kematian demi melaksanakan arahan Rasulullah S.A.W kerana beliau amat yakin dengan janji-janji Allah dan Rasul-Nya bahawa syurga tempat kembali bagi sesiapa yang mati di jalan Allah.

Sumber : 
– Hadith diriwayatkan oleh Al-Bukhari di dalam kitab Al-Maghazi bab terbunuhnya Abu Rafi’ Abdullah bin Abi Al-Huqaiq (no. 4037-4039)
– Fathul Bari jilid 9 m/s 101 cetakan Dar At-Thaibah

KONGSIKAN ARTIKEL INI

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah ramai yang akan mendapat manafaat.

 

Add Comment