Kisah Benar ! Pengalaman Orang Bukan Islam Bila Pertama Kali Bertemu Tuan Guru Nik Aziz Amat Menyentuh Hati. Sungguh Tinggi Akhlak Tuan Guru

Malam ini, lain sungguh rasa nya bila mendapat berita mengenai kematian Tok Guru Nik Aziz, TGNA.

Saya, secara peribadi, memang kagum dan menghormati beliau.

Dan saya ingin kongsikan pengalaman ketika bertemu dengan beliau di salah sebuah restauran makan di Kelantan beberapa tahun dahulu.

Memandangkan saya dan rakan rakan saya, semua nya berbangsa Punjabi (kami semuanya 5orang sahabat, cuma saya sahaja yang tidak memiliki sarban), maka nak dijadikan cerita, masa itu, rakan rakan saya sentiasa dipandang oleh penduduk Kelantan. Rasa macam artis pulak, semua nak berkenalan….hmmm

Di restoran itu kami berkumpul untuk mkn . Sambil jamu selera, rakan saya memberitahu, bahawa orang yang duduk di hujung meja itu adalah TGNA.

Saya tak percaya, takkan la TGNA sebagai Menteri Besar nak makan kat kedai ini (tak ingat pulak nama kedai tu), dah tu pulak takde bodyguard, mustahil, mana mungkin seorang yang diberikan mandat menguruskan negeri jalan senang lenggang macam tu je tanpa bodyguard.

Kawan saya pula confident sungguh beliau adalah TGNA. Saya pun bangun pergi, nak tanya sendiri, betul ke?

Bila saya beri ucapkan Selamat Pagi kat beliau, dan saya tanya betul ke Encik ni TGNA. Dia menjawab yer…Opocot!!! betul laa…aduhai, terkezut siot. Saya pun senyum dan toleh kat kawan saya, saya angguk kepala memberikan isyarat yang mereka itu betul.

TGNA pun bertanya, siapa nama, dari mana, nak kemana…saya pun bagi tau yang kami daripada Ipoh Perak, datang melawat Kelantan selepas balik dari pulau perhentian. Dan TGNA pun cerita tempat yang menarik saya dan kawan kawan saya boleh lawati….sempoi je bercerita dan bersembang dgn TGNA ini.

Lepas tu saya pun join member saya, makan….

TGNA selepas selesai makan, datang ke meja kami, dan dia ucapkan selamat datang ke Kelantan dan terus membawa diri….ringkas je dia wish kat kami semua, mungkin ade urusan ler tu yang perlu dikerjakan….

Dan kami pun selepas beberapa minit, habis makan nak bayar. Bila pergi ke kaunter nak bayar, rupa rupa nya bill makan minum kami telah disettle kan oleh TGNA…uishhh…sampai mcm tu sekali!

nak ucapkan terima kasih pun kami tak sempat, beliau masa tu dah lama beredar.

Memang pengalaman yang sungguh menarik.

Dan ketika saat itu, ianya menjadi turning point pada diri yang kerdil ini, bahawa apa jua yang saya ketahui mengenai TGNA dan juga parti nya adalah amat serong sekali (terima kasih kepada media tempatan yang menanamkan pemikiran negatif kami terhadap TGNA dan juga parti nya…

saya tak berminat nak ceritakan pasai media kita, utusan meloyakan, dan juga berita hairan dan mana mana yg sekutu dgn nya, sudah lebih 10 tahun diri ini tak layan mainstream media).

Itu lah cerita yang saya nak sampaikan..dan memang betul, TGNA ini, memang humble orang nya. Banyak juga member kenalan memberitahu saya, dia tinggal dirumahnya dan tidak pun bangga tinggal dikediaman rasmi yang sepatutnya.

Tiada protokol yang ketat untuk berjumpa dengan nya…mudah nya nak berurusan tanpa banyak karenah.

Malah saya juga mendapat tahu, beliau banyak menderma duit gaji nya….sungguh mulia hati TGNA ini….segala jua urusan yang dia lakukan adalah kerana Allah s.w.t

Semoga, pendekatan beliau menjadi ikutan kepada barisan pemimpin yang memimpin negara ini.

Walaupun saya non-muslim, tetapi saya memang respect kepada TGNA. Pernah juga terkilan dengan member lain yang mengkutuk dan menghina beliau hanya kerana perbezaan ideologi politik. Lebih terkilan dan tersentap apabila hinaan itu datangnya dari Muslim….aduhai….

Ape ape pun, kita ketepikan fahaman masing masing, ambil yang jernih, buang yang keruh.

Kepada rakan KGM semua, terutamanya yang beragama Islam, hari ini, hari Jumaat, dan ketika menunaikan solat Jumaat nanti, doakan TGNA semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang orang beriman.

Sumber ditulis oleh Rajinder singh aka tutor raj via Sayangawak

http://btmmari.blogspot.my/2015/02/apa-pandangan-orang-bukan-islam-tentang.html?m=1

Link: http://sayangawak.com/pengalaman-orang-bukan-islam-bila-pertama-kali-bertemu-tuan-guru-nik-aziz-amat-menyentuh-hati-sungguh-tinggi-akhlak-tuan-guru/

12 Perkara Yang Kita Tak Tahu Tentang Tok Guru Nik Aziz

Artikel Ini Di Terbitkan Semula

Masih belum terlambat untuk kami mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan pengikut Tok Guru Nik Aziz atas pemergian beliau pada jam 9.45 malam semalam.

Syukur Alhamdulillah jenazah Allahyarham Datuk Nik Aziz telah selamat disemadikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Apa yang mengharukan, majlis pengkebumian Allahyarham telah dihadiri oleh selautan umat manusia yang benar-benar menangisi pemergian beliau. MasyaAllah, sesungguhnya amat besar kemuliaan yang Allah S.W.T berikan kepada Tok Guru Nik Aziz.

Bagi yang masih belum mengenali keperibadian TGNA, apa kata anda luangkan sedikit masa untuk membacanya di bawah ini.

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama sebenar beliau ialah Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, dilahirkan pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kelantan.

Beliau dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Salasilah Keluarga Ulama
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara.

Mendalami Ilmu Agama Sejak Kecil
Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pemegang Ijazah Sarjana Kehakiman & Perundangan Islam
Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Buka Sekolah Dengan Tanah Wakaf
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka.

Beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin pada sebelah pagi dan petang. Manakala, sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Seorang Ahli Politik & Pemimpin Yang Hebat

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang disegani dan dihormati oleh semua kaum kerana hujah-hujah beliau dapat mengangkat politik perkauman sehingga dapat melangkaui pertelingkahan di kalangan rakyat Malaysia dengan menunjukkan nilai-nilai agama Islam adalah konsep universal yang akan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia” – Ahli Parlimen Batu, Tian Chua

Pendakwah Yang Petah Bercakap
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Aktif Dengan Pondok Bergerak
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Berkahwin Pada Usia 34 Tahun & Dikurniakan 10 Anak

Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Gemar Bersolat Dalam Keadaan Gelap

Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya – Kembara Di Bumi Allah

Gemar Berqiamullail
Perkara ini diceritakan oleh seorang individu di laman blognya. Ketika itu dia dan kawan-kawan menyertai rombongan mengiringi TGNA ke Birmingham dan bermalam di Coventry.

Malam itu semua orang tidur dalam keadaan letih. Tanpa diduga, tidak lama menjelang subuh, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menggerak kami, memaklumkan yang beliau berqiamullail dan jika ada yang mahu bersama, beliau alu-alukan.

Semasa bersarapan, saya bertanya kepada Tuan Guru, bagaimana beliau boleh bangun berqiamullail walaupun berbeza waktu antara Malaysia dan UK. Adakah kerana jetlag, atau beliau tidak tidur sepanjang malam? Tuan Guru menjawab dengan lebih kurang maksudnya, “satu-satu benda tu, apabila kita dah suka, kita pergi mana pun dia ikut kita”. – Saifulislam.com

“Jika tidak berpolitik ambo nak sambung mengaji” – TGNA
Di dalam entri yang sama turut diselitkan ini:

Semasa beliau singgah di London, saya bertanya kepada Tuan Guru satu soalan yang sensitif. Saya tanya, “Kalau Tuan Guru tidak menjadi Menteri Besar atau ahli politik, apakah yang akan Tuan Guru lakukan barangkali?”

Tuan Guru menjawab, “Ambo suka mengaji. Jika tidak berpolitik ambo nak sambung mengaji. Tetapi mengaji dan politik payah nak buat bersama. Sepertinya kena memilih satu antara dua.”

Sumber: Blogmalaysiaku

Link: https://blogmalaysiaku.com/12-perkara-yang-kita-tak-tahu-tentang-tok-guru-nik-aziz/

 

Add Comment